Tiga maut di atas kapal persiaran disyaki akibat jangkitan hantavirus – WHO

 Foto AFP

PRAIA, CAPE VERDE, 4 Mei – Sekurang-kurangnya tiga orang maut di atas sebuah kapal persiaran di Lautan Atlantik selepas berlakunya jangkitan hantavirus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu kes hantavirus disahkan melalui ujian makmal manakala lima lagi kes disyaki.
  • Kementerian Kesihatan Afrika Selatan melaporkan wabak pernafasan serius, dua kematian dan seorang pesakit kritikal di Johannesburg.
  • Hantavirus biasanya berpunca daripada pendedahan kepada air kencing atau najis tikus dan boleh menyebabkan penyakit pernafasan teruk.
  • MV Hondius, kapal persiaran dikendalikan Oceanwide Expeditions, sedang disiasat dan tindakan terhadap penumpang bergejala sedang dirancang.

WHO memaklumkan satu kes hantavirus telah disahkan melalui ujian makmal, manakala lima lagi kes disyaki.

“Daripada enam individu yang terjejas, tiga dilaporkan meninggal dunia dan seorang lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi di Afrika Selatan.

Kejadian itu berlaku di atas kapal MV Hondius yang dalam perjalanan dari Ushuaia, Argentina menuju ke Cape Verde.

Kementerian Kesihatan Afrika Selatan sebelum ini memaklumkan terdapat wabak penyakit pernafasan yang serius dengan sekurang-kurangnya dua kematian direkodkan serta seorang lagi pesakit kritikal di Johannesburg.

Pesakit yang dirawat di Johannesburg didapati positif hantavirus, iaitu sejenis virus dalam kumpulannya yang boleh menyebabkan demam berdarah, kata jurucakap Afrika Selatan, Foster Mohale.

WHO menjelaskan jangkitan hantavirus biasanya berpunca daripada pendedahan kepada air kencing atau najis tikus yang dijangkiti.

“Walaupun jarang berlaku, hantavirus mungkin merebak antara manusia, dan boleh menyebabkan penyakit pernafasan yang teruk dan memerlukan pemantauan, sokongan dan tindak balas pesakit yang teliti”, menurut WHO dalam kenyataan.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 70 tahun yang menunjukkan gejala awal meninggal dunia di atas kapal, manakala isterinya yang berusia 69 tahun turut meninggal dunia selepas dipindahkan ke hospital di Johannesburg. Seorang lagi pesakit warga Britain berusia 69 tahun kini dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai identiti mangsa serta langkah seterusnya terhadap penumpang lain yang turut mengalami simptom.

Kapal MV Hondius yang dikendalikan syarikat pelancongan berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions, boleh membawa kira-kira 170 penumpang dan 70 kru.-AFP