Seorang maut, empat cedera dalam kemalangan di Jalan Miri Bypass

Kemalangan maut di Jalan Miri Bypass/ Polis Daerah Miri

MIRI, 3 Mei – Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Miri Bypass, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Miri Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi itu berlaku berhampiran lampu isyarat Jalan Miri Bypass melibatkan kenderaan Utiliti Sukan (SUV) dan sebuah kereta.

“Kemalangan berlaku semasa SUV yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 25 tahun yang datang dari Permyjaya menuju ke Taman Tunku telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“SUV berkenaan terlanggar sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun bersama tiga penumpang,” menurut kenyataan itu.

Penumpang hadapan kereta tersebut yang merupakan lelaki tempatan berumur 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu serta dua penumpang lelaki tempatan berumur 19 tahun dan 20 tahun dalam kereta itu telah dirujuk ke Hospital Umum Miri untuk menerima rawatan lanjut.

Pemandu SUV tersebut yang turut mengalami pelbagai kecederaan telah dirujuk ke unit kecemasan Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah seksyen 41(1) akta pengangkutan jalan 1987. Pihak polis menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 / 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.