
KUALA LUMPUR, 30 April – Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 terus menjadi platform penting dalam mengiktiraf sumbangan pengamal media di negara ini, di samping memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam bidang kewartawanan.
- HAWANA menghargai peranan wartawan dan memperkukuh etika dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.
- Pelbagai program seperti forum media, pesta pantun dan aktiviti sukan menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara.
- Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media di PICCA, Pulau Pinang pada 20 Jun, dirasmikan Perdana Menteri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata, penganjuran HAWANA bertujuan menghargai peranan wartawan selain memperkukuh etika dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Beliau berkata, pelbagai program telah dirancang sempena sambutan itu termasuk forum media, pesta pantun dan aktiviti sukan yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara.
“HAWANA 2026, seperti penganjuran sebelum ini, bertujuan memberi pengiktirafan kepada profesion kewartawanan serta menghargai jasa dan sumbangan mereka yang terlibat dalam industri media.
“HAWANA juga akan menjadi platform untuk pengamal media berhimpun, saling mengangkat serta mendukung etika kewartawanan,” katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Nur-ul Afida yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, HAWANA bukan sekadar platform penghargaan, malah berperanan memperkukuh nilai profesionalisme dalam industri media.
Beliau turut menekankan cabaran yang dihadapi pengamal media dalam era digital, khususnya keperluan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu.
“Bagi golongan wartawan, cabarannya ialah untuk menerima dan mengadaptasi teknologi baharu dalam pasaran,” katanya.
Beliau berharap pengamal media terus berpegang kepada prinsip integriti dan etika bagi memastikan maklumat yang disampaikan kekal tepat serta dipercayai masyarakat.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun, dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.