HLC Biobahan Api perkukuh kesiapsiagaan tenaga negara – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api Bilangan 1/2026, pada petang Rabu. Foto Facebook Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 30 April – Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan ketidaktentuan serta krisis tenaga global, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Perladangan dan Komoditi ditetapkan sebagai urus setia untuk menyelaras pelaksanaan keputusan serta tindakan bersepadu antara kementerian dan agensi.
  • Matlamat utama adalah menyelaras dan memantau pelaksanaan peningkatan kadar adunan biodiesel secara berperingkat daripada B10 ke B15.
  • Penggunaan biodiesel berasaskan komoditi tempatan memperkukuh keselamatan tenaga, daya tahan bekalan dan sokong peralihan tenaga rendah karbon.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan global semasa menuntut negara untuk lebih bersedia, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga negara.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api Bilangan 1/2026, pada petang Rabu.

HLC ditubuhkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah respons proaktif terhadap krisis bekalan global yang tercetus akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bertindak sebagai urus setia bagi menyelaras pelaksanaan keputusan mesyuarat serta memastikan setiap tindakan dapat digerakkan secara bersepadu.

“Matlamat utama jawatankuasa ini adalah untuk membincang, menyelaras dan memantau pelaksanaan keputusan dasar kerajaan berkaitan peningkatan kadar adunan biodiesel negara daripada B10 kepada B15 secara berperingkat.

“Selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus industri biobahan api negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selaku urusetia HLC Biobahan Api, komited memastikan jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan strategik peringkat tinggi merentas kementerian dan agensi,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, penggunaan biodiesel berasaskan komoditi tempatan merupakan satu langkah strategik yang signifikan kerana berupaya menjadi penampan sekiranya berlaku gangguan atau kejutan bekalan dari luar negara.

Katanya, pendekatan itu juga membolehkan Malaysia mengawal sebahagian daripada keperluan tenaga secara domestik, sekali gus memperkukuh tahap kebergantungan kendiri dalam sektor tenaga.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri biobahan api muncul sebagai antara pemacu utama kepada keselamatan tenaga negara.

“Kerajaan kekal komited dan akan terus memperkukuh kolaborasi strategik bersama pemegang taruh bagi memastikan industri biobahan api menjadi antara pemacu utama peralihan tenaga rendah karbon, keselamatan tenaga serta pengukuhan daya saing sektor agrikomoditi negara,” katanya.