Kementerian, agensi kerajaan diarah laksana program berskala sederhana

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 April – Semua kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun diarahkan untuk melaksanakan program serta aktiviti rasmi pada skala sederhana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan Perdana Menteri disampaikan Datuk Fahmi Fadzil susulan mesyuarat menilai cabaran ekonomi global.
  • Langkah bertujuan menyelaraskan perbelanjaan kerajaan khususnya penganjuran acara, bengkel dan program berskala besar.
  • Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI diselaraskan di peringkat Persekutuan, libatkan Ahli Parlimen untuk impak lebih berkesan kepada komuniti akar umbi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan perbincangan dalam mesyuarat termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang meneliti cabaran semasa ekonomi global.

Beliau berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan penyelarasan perbelanjaan kerajaan, khususnya melibatkan penganjuran acara rasmi, bengkel serta program berskala besar.

“Yang amat hormat Perdana Menteri telah menegaskan supaya segala acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksana oleh kementerian, agensi dan juga badan-badan berkanun atau GLC dan GLIC harus pada skala sederhana.”

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyentuh pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI yang perlu diselaras dengan lebih rapi di peringkat Persekutuan.

Datuk Fahmi berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan program melibatkan kementerian dan agensi dapat digerakkan secara lebih tersusun, termasuk dengan penglibatan Ahli Parlimen.

Tambah beliau, usaha tersebut juga bertujuan memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat memberi impak lebih berkesan kepada komuniti sasaran di peringkat akar umbi.