Lelaki belasah isteri hingga keguguran, direman tujuh hari

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 29 April -Lelaki yang dipercayai membelasah isterinya hingga mengalami keguguran dalam kejadian di Ambangan Heights, di sini, Khamis lalu direman tujuh hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suami belasah isteri dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan penyapu hingga mangsa keguguran; sedang dirawat di HSAH.
  • Suspek ditahan di Alor Setar selepas lima hari melarikan diri; dipercayai melarikan barang kemas dan simpanan sekitar RM50,000.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 325; suspek juga terbabit kes lama yang mengakibatkan mangsa koma, pernah dijatuhi hukuman penjara.

Perintah reman bermula hari ini hingga Rabu depan terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Sungai Petani, pagi tadi.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dan memakai pelitup muka tiba di perkarangan Mahkamah Sungai Petani bagi prosiding reman kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dengan diiringi anggota polis.

Tempoh reman selama tujuh hari itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap suspek yang juga seorang peniaga.

Kes disiasat bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Lelaki terbabit ditahan petang semalam di Alor Setar selepas lima hari melarikan diri bagi mengelak ditangkap selepas kejadian membelasah isterinya dilaporkan kepada pihak polis dan tular di media sosial.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak kejam dengan membelasah isterinya berusia 39 tahun dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan penyapu selepas mereka dipercayai bertengkar berkaitan hal rumah tangga.

Selain cedera parah dibadan dan muka, isterinya yang merupakan seorang kakitangan sebuah hospital di Sungai Petani turut keguguran dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Mereka berkahwin di negara jiran pada Disember lalu, namun difahamkan belum
mendaftar perkahwinan secara rasmi di negeri ini.

Suspek dipercayai turut melarikan barangan kemas dan wang simpanan milik isterinya berjumlah kira-kira RM50,000 selepas kejadian tersebut.

Siasatan lanjut pihak polis sebaik menerima laporan kejadian daripada abang mangsa mendapati suspek merupakan individu sama yang mencederakan isterinya Jahidah Nordin, 48 tahun, lima tahun lalu yang masih koma sehingga kini.

Pada 9 Disember 2024 Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendapati dia bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Bagaimanapun hanya sempat menjalani hukuman itu selama 79 hari berikutan Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakilinya memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sementara itu abang mangsa, Mohd Firdaus Mokhtar, 45 tahun yang ditemui diperkarangan mahkamah berkata,dia sekeluarga bersyukur kerana suspek berjaya ditahan dalam tempoh yang singkat.

Katanya ia merupakan satu petanda baik untuk mendapat keadilan untuk adiknya yang terkesan dengan sikap tidak berperikemanusiaan adik iparnya itu.

Beliau menyerahkan kepada proses undang-undang untuk mengadilinya dan jika didapati bersalah beliau berharap lelaki terbabit dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap ahli keluarganya.