
NILAI, 25 April – Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui masih dalam proses mencari rentak sebenar selepas terkandas seawal pusingan repechage acara keirin lelaki pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
- Terkandas di pusingan repechage selepas keempat dalam saringan pertama, gagal melangkah ke peringkat kedua.
- Baru kembali selepas kecederaan panjang dan pembedahan lutut kanan pada September lalu.
- Kelemahan pecutan dan kekuatan fizikal menghalang pergerakan agresif serta menyukarkan usaha memintas lawan.
- Tetap positif; lutut tidak lagi sakit, anggap musim ini fasa bina semula prestasi dan perlukan masa.
Muhammad Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam saringan pertama, sebelum sekadar menduduki tangga ketiga pada pusingan repechage, sekali gus menyaksikan impiannya untuk melangkah ke peringkat kedua tidak kesampaian.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak terlalu mengecewakan buat atlet berusia 29 tahun itu, memandangkan beliau baru sahaja kembali daripada kecederaan jangka panjang, termasuk menjalani pembedahan lutut kanan pada September tahun lalu.
“Secara jujur, sebagai pelumba yang baharu kembali ke pentas antarabangsa, saya sepatutnya bermula di kejohanan kelas satu atau dua terlebih dahulu, bukannya terus terjun ke saingan Piala Dunia yang berintensiti tinggi.
“Namun, penyertaan ini merupakan peluang terbaik buat saya menilai tahap kemampuan sebenar ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut beliau, kelemahan dari segi pecutan dan kekuatan fizikal masih menjadi kekangan utama, terutama dalam situasi perlumbaan yang memerlukan pergerakan agresif.
“Apabila ingin memintas atau melakukan gerakan, saya memang bergelut. Keinginan untuk memecut itu ada, tetapi kaki seakan tidak mampu memberi kerjasama.
“Saya banyak bergantung kepada pergerakan lawan, namun hari ini situasi tidak seperti yang dijangkakan,” jelas beliau.
Walaupun keputusan perlumbaan kurang memberangsangkan namun beliau tetap positif terutama apabila lututnya tidak lagi mengalami kesakitan, yang sebelum ini menjadi penghalang sepanjang proses pemulihan.
“Perkara paling utama adalah lutut saya tidak sakit. Selepas perlumbaan pun tiada isu berbangkit, dan itu merupakan petanda positif. Namun, dari segi kekuatan serta pecutan, saya masih perlu membina semula momentum dan ia memerlukan masa,” ujarnya.
Mengakui masih belum berada pada tahap terbaik, Muhammad Shah Firdaus tetap optimis dan menganggap musim ini sebagai fasa pembinaan semula prestasi.