Projek naik taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru siap Jun 2027

Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan meninjau perkembangan projek menaik taraf Rumah Seri Kenangan di Kampung Ungku Mohsin

JOHOR BAHRU, 24 April – Projek menaik taraf Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor Bahru telah mencapai kemajuan sebanyak 38 peratus, sekali gus menyaksikan transformasi sebuah kompleks kebajikan menjadikannya lebih besar dan moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek bernilai RM57.3 juta dijangka siap pada 5 Jun 2027.
  • Kompleks dijangka beroperasi sepenuhnya dalam satu hingga dua bulan selepas penyerahan.
  • Kemudahan termasuk kuarters 10 tingkat, asrama 260 penghuni, dewan serbaguna, klinik, dobi dan surau.
  • Pemerkasaan tapak pembinaan ditumpukan bagi memastikan setiap komponen memenuhi piawaian keselamatan JKR.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, kontraktor dilantik sedang giat melaksanakan kerja bagi memastikan projek bernilai RM57.3 juta itu siap mengikut jadual pada 5 Jun 2027.

Kompleks baharu itu dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh satu ke dua bulan selepas tarikh penyerahan.

Apabila siap kelak, ia bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama kluster, dewan serbaguna dan blok aktiviti yang kondusif.

“Kuarters 10 tingkat menjadikan tempat ini begitu menarik. Terdapat asrama yang boleh memuatkan 260 orang, iaitu 130 lelaki dan 130 perempuan warga emas. Ia juga mempunyai dewan serbaguna, klinik, dobi, surau dan blok sokongan,” katanya selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke tapak projek RSK di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah pemerkasaan di tapak pembinaan kini menjadi fokus utama bagi memastikan setiap komponen yang dibina memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya.