Seorang maut, lima cedera selepas kereta jatuh ke dalam gaung

Gambar JBPM

TAPAH, 24 April – Seorang individu maut, manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands pada Khamis.
  • Kenderaan utiliti sukan dipercayai terbabas sebelum terjatuh.
  • Pemandu lelaki yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
  • Penumpang yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, kejadian berlaku di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands, pada Khamis.

“Berdasarkan siasatan awal, kenderaan Utiliti Sukan (SUV) itu dipercayai terbabas, sebelum terjatuh ke dalam gaung.

Pemandu lelaki yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Lima mangsa yang cedera terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 48 tahun, dua remaja perempuan masing-masing berusia 19 dan 17 tahun, serta dua kanak-kanak berusia 9 dan 6 tahun.

Mereka berjaya dikeluarkan daripada kenderaan tersebut oleh orang awam, sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.