
WASHINGTON, 17 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan, perjanjian dengan Iran bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih enam minggu hampir dicapai.
- Pusingan kedua rundingan damai antara Washington dan Tehran dijangka berlangsung hujung minggu ini.
- Gencatan senjata dua minggu dijadual tamat pada 22 April.
- Tentera AS sedia sambung semula pertempuran jika tiada perjanjian dicapai.
Jelas beliau, pusingan kedua rundingan damai secara bersemuka antara Washington dan Tehran dijangka berlangsung hujung minggu ini.
“Jika itu berlaku, harga minyak akan turun dengan ketara, inflasi akan menurun dan anda tidak akan menghadapi isu nuklear,” katanya kepada pemberita di White House di sini.
Beliau menyatakan perkara itu ketika gencatan senjata dua minggu yang sedang berlangsung dijadual tamat pada 22 April ini.
Rundingan antara Washington dan Tehran ketika ini dimediasi Pakistan, dengan pusingan pertama rundingan pada hujung minggu lalu berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Reuters yang memetik kenyataan sumber, usaha rundingan kini menunjukkan perkembangan positif termasuk dalam beberapa isu kritikal.
Semalam, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, tentera AS sedia menyambung semula pertempuran dengan Iran jika perjanjian antara Washington dan Tehran tidak dicapai. – REUTERS