Bekalan peranti perubatan masih terkawal

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr P. Muralitharan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April – Bekalan peranti perubatan di negara ini masih mencukupi dan terkawal meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan susulan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme Special Access Pathway membolehkan akses segera kepada peranti belum berdaftar tertakluk kepada piawaian kualiti dan keselamatan.
  • Setiap permohonan SAP mesti disertakan dokumen sokongan termasuk kelulusan ujian klinikal dan bukti keberkesanan sebelum dinilai MDA.
  • Dianggarkan sedikit pengurangan bekalan selama tiga hingga enam bulan bagi kit diagnostik, peranti berteknologi tinggi dan bahan pakai buang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr P. Muralitharan berkata, sebanyak 19 permohonan pembekalan peranti perubatan diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi mekanisme Special Access Pathway (SAP) bagi menangani situasi tersebut.

“SAP membolehkan akses segera kepada peranti yang belum berdaftar di Malaysia, tertakluk kepada piawaian kualiti dan keselamatan yang ditetapkan.

“Setiap permohonan perlu disertakan dokumen sokongan termasuk kelulusan ujian klinikal dan bukti keberkesanan sebelum dinilai MDA,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, pada Khamis.

Beliau berkata, gangguan kecil dikesan melibatkan beberapa kategori seperti kit diagnostik makmal, peranti berteknologi tinggi serta bahan pakai buang.

“Kita menjangkakan sedikit pengurangan bekalan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, namun situasi ini tidak dijangka berlarutan melebihi enam bulan,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran peranti perubatan bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrokimia seperti resin dan polimer yang turut terkesan akibat krisis tenaga.

Tambah beliau, mekanisme SAP bukan perkara baharu dan pernah digunakan ketika pandemik bagi memastikan kesinambungan bekalan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya hanya membeli peranti perubatan berdaftar serta menyemak statusnya melalui laman sesawang MDA.