Tawaran diskaun 50% sewa tapak kepada 10,000 peniaga hingga 2027

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Putrajaya Aktif di Dataran Putrajaya hari ini/BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 April -Sebanyak 50 peratus pengurangan kadar sewaan tapak bagi tempoh dua tahun diberikan kepada 10,000 peniaga bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL dan Perbadanan Labuan antara pihak berkuasa tempatan terawal umum inisiatif ringankan beban kos sara hidup peniaga berikutan kenaikan harga minyak.
  • Pengurangan kadar sewaan tapak penjaja dan premis DBKL berkuat kuasa 1 April hingga 31 Disember 2027.
  • Perbadanan Putrajaya masih meneliti pendekatan terbaik dan bentuk bantuan lain sebelum melaksanakan langkah sama.
  • Kerajaan lancar kelas sukan percuma sepak takraw dan lompat tali di Putrajaya untuk menangani obesiti kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, berkata DBKL dan Perbadanan Labuan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal yang mengumumkan inisiatif bertujuan meringankan beban kos sara hidup peniaga, khususnya berikutan kenaikan harga minyak.

“Kami ada senarai panjang untuk (penerima di bawah) DBKL, iaitu 10,000 di semua tapak, termasuk medan selera dan pasar,” katanya selepas merasmikan Program Putrajaya Aktif, di sini.

Pengurangan kadar sewaan tapak penjaja dan premis tertentu bawah seliaan DBKL itu berkuat kuasa dari 1 April hingga 31 Disember 2027.

Hannah berkata Perbadanan Putrajaya kini masih meneliti pendekatan terbaik sebelum melaksanakan langkah sama, termasuk menilai bentuk bantuan tambahan selain diskaun sewa.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini kerajaan memberi keutamaan kepada pengurangan kadar sewa berbanding bentuk subsidi lain, mengambil kira kekangan kewangan serta keperluan menjana hasil alternatif.

“Apabila kami kurangkan sewa, kami perlu cari sumber hasil lain kerana kami juga berdepan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga minyak,” katanya.

Hannah ketika mengulas program hari ini berkata kerajaan turut melancarkan kelas sukan percuma melibatkan sepak takraw dan lompat tali di Putrajaya sebagai langkah khusus menangani obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata program itu dipilih kerana kosnya rendah dan mudah dipraktikkan sendiri oleh kanak-kanak di rumah.

“Kelas ini diadakan dua kali sebulan, minggu kedua dan keempat, melibatkan 50 peserta setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya dan dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.

Hannah berkata inisiatif itu dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan, dengan fokus menyediakan program dan memupuk minat bersukan manakala aspek pemakanan dan kesihatan dipantau kementerian berkenaan.

Beliau berkata kerajaan turut merancang mendapatkan data kanak-kanak obes di Putrajaya melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memperluas capaian program kepada kumpulan sasar sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuala Lumpur.