Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq selamat dikebumikan

Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Damai, Gemas, kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad

TAMPIN, 12 April- Jenazah anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Damai, Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham dirawat di HOSHAS selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius dan koma sejak 30 Mac sebelum disahkan meninggal dunia.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek dilaporkan ditahan; sebutan kes dijadualkan 18 Mei.
  • Keluarga masih menunggu perkembangan, bapa memaklumkan tiada perkembangan terkini, adik mengharapkan proses perundangan berjalan dan keadilan ditegakkan.
  • Rakan dan pegawai memberi penghormatan terakhir; Leftenan Kolonel Mohd Nasir Azit menyampaikan talkin dan Panglima Medan Barat hadir serta memberi sumbangan.

Jenazah allahyarham tiba di kampung halaman pada pukul 2.18 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah untuk disolatkan pada pukul 2.30 pagi dan dikebumikan kira-kira pukul 4.30 pagi.

Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Pahang selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius dan koma sejak 30 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia pagi semalam.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bapa allahyarham, Rosafindi Tambi Chik, memaklumkan keluarga masih menunggu perkembangan lanjut kes berkenaan.

“Setakat ini kami belum menerima perkembangan terkini. Difahamkan anggota terlibat (suspek) telah ditahan dan sebutan kes dijadualkan pada 18 Mei,” katanya.

Adik allahyarham, Ainur Syazwani Rosafindi, 22, berharap proses perundangan berjalan dengan sewajarnya.

“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Rakan allahyarham dari Kolej Vokasional Port Dickson, Ahmad Naqib Umar, 24, menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang aktif dan mempunyai minat mendalam dalam kerjaya ketenteraan.

Seorang lagi rakan, Muhammad Afham Hafidz, 24, berkata allahyarham seorang yang peramah dan mudah didekati.

Talkin disampaikan oleh Leftenan Kolonel Mohd Nasir Azit.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal turut hadir memberikan penghormatan terakhir dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga allahyarham.