Rundingan damai AS-Iran bermula

Rundingan damai AS-Iran kini bermula dengan Pakistan sebagai perantara. /Foto AFP

WASHINGTON, 11 April – Rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat sedang berlangsung dengan Pakistan sebagai perantara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media Axios melaporkan beberapa kapal tentera laut Amerika merentasi Selat Hormuz.
  • Pegawai kanan tentera Iran menafikan laporan dan menyangkal dakwaan mengenai keadaan konflik.
  • Pembukaan Selat Hormuz syarat utama gencatan senjata; rundingan damai sedang berlangsung dengan Pakistan sebagai perantara.

Ia diadakan di sebuah hotel di Islamabad. Delegasi Amerika Syarikat diketuai Naib Presiden, JD Vance.

Utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff dan menantu beliau, Jared Kushner juga akan hadir pada rundingan tersebut.

Terdahulu, Trump mendakwa Amerika Syarikat telah memulakan proses “membuka laluan” Selat Hormuz.

Beliau menerusi catatan platform Truth Social memaklumkan, usaha itu kononnya memanfaatkan kapal China, Jepun dan Perancis.

Trump berkata demikian selepas syarikat media Axios melaporkan dua kapal perang milik tentera laut Amerika telah merentasi selat berkenaan.

Laporan dinafikan pegawai kanan tentera Iran.

Dalam catatan terdahulu, Trump juga menyatakan banyak kapal tangki kosong sedang menuju ke Amerika Syarikat dari seluruh dunia untuk membeli minyak, tanpa memberitahu butiran lanjut.

Laluan Selat Hormuz mula disekat Tehran selepas serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada hujung Februari lalu.

Pembukaan selat ini merupakan syarat utama Amerika Syarikat untuk gencatan senjata dengan Iran. -AFP