Subsidi diesel diteruskan, lindungi sektor kritikal

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 April – Pemberian subsidi diesel akan diteruskan bagi memastikan sektor penting melibatkan peladang dan petani tidak tertekan dengan kenaikan kos bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah kerajaan bertujuan menstabilkan ekonomi dan melindungi golongan terkesan.
  • Bantuan telah disalurkan kepada peladang dan petani; kementerian kaji bantuan untuk sektor lain.
  • Kerajaan sentiasa memantau perkembangan dan berhati-hati dalam keputusan subsidi bahan api.
  • Peneraju industri dinasihat guna bahan api secara berhemat dan bekerjasama memastikan kestabilan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan menstabilkan ekonomi serta melindungi golongan yang terkesan dengan perubahan harga diesel.

Menurut beliau, bantuan kepada peladang dan petani telah diberikan, manakala beberapa kementerian sedang meneliti langkah tambahan bagi membantu sektor lain yang turut terkesan.

“Subsidi diesel akan diteruskan, ada beberapa kalangan yang merasakan kenaikan harga diesel itu membebankan. Kalau melibatkan soal peladang, petani, nelayan itu mereka telah dibantu.

“Kalau bidang lain, beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” jelasnya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan subsidi bahan api.

Pada masa sama, semua pihak termasuk peneraju industri disaran menggunakan bahan api secara berhemat dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terjamin.