
KLANG, 8 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited memperkukuh kualiti pendidikan menerusi penganjuran MARA International Education Conference (MIEC 2026), sekali gus menjadi pemangkin kecemerlangan berterusan institusi pendidikannya.
- Persidangan menampilkan pembentangan pemimpin pendidikan, pengamal industri dan ahli akademik antarabangsa sebagai platform strategik perkongsian ilmu.
- Program bertujuan memperkasa inovasi pendidikan, pembangunan modal insan dan perkongsian amalan terbaik dalam landskap pendidikan global mencabar.
- MARA terus berevolusi sejak era PERBINA, mengintegrasikan pendidikan menengah, TVET dan tertiari secara holistik ke arah kecemerlangan.
Persidangan yang diadakan dengan kerjasama Akademi Kecemerlangan MARA itu merupakan platform strategik menampilkan pembentangan oleh pemimpin pendidikan, pengamal industri serta ahli akademik dari dalam dan luar negara.
Disertai 389 peserta, program berkenaan bertujuan memperkasa inovasi pendidikan, pembangunan modal insan serta perkongsian amalan terbaik dalam landskap pendidikan global yang semakin mencabar.
“Persidangan dwitahunan ini diadakan bagi memastikan kurikulum serta sistem pembelajaran dan pendidikan di MRSM sentiasa dipertingkatkan, bukan sahaja dari segi kualiti kurikulum, malah merangkumi semua aspek pengurusan ke arah kecemerlangan dan kemenjadian pelajar,” demikian menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup persidangan berkenaan di sini, hari ini.
MIEC 2026 merupakan kesinambungan persidangan pendidikan MARA yang dianjurkan sejak tahun 2001 sebelum ini dikenali sebagai PERBINA.
Perubahan itu jelas menunjukkan MARA sentiasa berevolusi mengikut kehendak dan perkembangan pendidikan semasa yang merangkumi pendidikan menengah, Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) serta pendidikan tertiari secara lebih holistik dan bersepadu.
Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan bahawa kesemua pelajar dibawah institusinya di Jordan dan Mesir kini dalam keadaan selamat dan sentiasa dipantau rapi susulan konflik di Asia Barat.
“Ibu bapa tidak perlu risau kerana MARA sentiasa mengikut rapat perkembangan mereka. Pelajar kita memang sentiasa dipantau kerana kita memang ada pegawai MARA di negara berkenaan”, tambah beliau.
Beliau yakin semua pelajarnya menurut segala arahan terkini disamping mendapat nasihat yang berterusan dari Wisma Putra.