
KUALA LUMPUR, 3 April- Satu sindiket yang aktif menjalankan kegiatan penyeludupan warga Bangladesh dikenali sebagai “Geng Ashraf”, ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis sekitar Ampang, awal pagi tadi.
- 27 warga Bangladesh ditahan; tiga lagi dikesan sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit.
- Sindiket aktif sejak Januari 2025 guna laluan negara ketiga, masuk melalui Kelantan ke Lembah Klang, caj hingga RM8,000 seorang.
- Tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah ATIPSOM; JIM tegas melalui Akta Imigresen dan Akta Pasport.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan berkata operasi yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan itu berjaya menahan 27 lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki telah diseludup masuk ke Malaysia.
Turut ditangkap, tiga lelaki warganegara Bangladesh disyaki sebagai ahli sindiket yang bertindak sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit berkenaan.
Hasil maklumat awal mendapati kesemua imigran terbabit telah masuk ke negara jiran sekitar tiga hari lalu.
“Sindiket ini yang dipercayai aktif sejak Januari 2025 menyediakan perkhidmatan membawa masuk warganegara asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan dan akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi-destinasi tertentu.”
“Dengan kadar bayaran sehingga RM8,000.00 bagi setiap imigran yang diseludup, sindiket dianggarkan telah mengaut keuntungan sekitar RM2.4 juta sejak beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM).
JIM menegaskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.