‘Iran tidak pernah respons pelan 15 perkara Washington’ – Menteri Luar

Abbas Araghchi/ AFP

Tehran, 1 April- Iran tidak terlibat dalam rundingan rasmi dengan Amerika Syarikat (AS) terhadap cadangan pelan 15 perkara dari Washington yang kononnya bagi mengakhiri konflik semasa, tegas Menteri Luarnya, Abbas Araghchi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepercayaan Tehran terhadap rundingan dengan AS pada tahap sifar.
  • Tehran menuntut pengakhiran perang sepenuhnya dan jaminan bahawa tindakan agresif tidak akan berulang.
  • Iran tidak menerima rundingan di bawah tekanan, sedia mempertahankan keselamatan rakyat termasuk penutupan laluan untuk kapal bermusuhan.

Araghchi berkata beliau ada menerima mesej daripada utusan khas AS secara langsung atau melalui perantara di rantau ini tetapi pertukaran mesej itu tidak dianggap Tehran sebagai satu rundingan rasmi.

“Kami tidak mempunyai kepercayaan bahawa rundingan dengan AS akan membuahkan hasil… kepercayaan terhadap mereka adalah pada tahap sifar,” tegasnya dalam temu bual dengan Al Jazeera.

Beliau juga menolak dakwaan Iran pernah menawarkan sebarang jawapan atau syarat balas terhadap cadangan AS berkenaan.

Selain menegaskan laporan media mendakwa Tehran telah memberikan respons terhadap pelan 15 perkara Washington itu adalah tidak tepat dan hanya bersifat spekulasi.

Tambahnya, Tehran akan terus menuntut pengakhiran perang secara lengkap dan bukan hanya gencatan senjata termasuk jaminan bahawa tindakan agresif pakatan AS dan Israel itu tidak akan berulang.

Araghchi turut menegaskan Iran tidak akan menerima rundingan di bawah tekanan dan tetap bersedia mempertahankan hak serta keselamatan rakyatnya.

Sejak konflik tercetus, Iran telah menutup laluan strategik di Selat Hormuz bagi kapal yang dianggap bermusuhan sebagai langkah mempertahankan kedaulatannya. -AFP