Nor Nadia tuntut keadilan, suami maut dilanggar pemandu mabuk

Nor Nadia Abdul Majid balu kepada Amirul Hafiz Omar yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang

KLANG, 1 April – “Nyawa dibalas nyawa,” itu luahan Nor Nadia Abdul Majid iaitu balu kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad lalu susulan kecuaian seorang lelaki yang dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol dan dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nor Nadia hadir di Mahkamah Klang, bersyukur atas sokongan dan menyerahkan urusan kepada peguam serta mahkamah.
  • Dia mahu sokongan emosi untuk anak-anak, bimbang mereka rasa bersalah dan dimalukan di sekolah sebab suami mencari buku teks.
  • Keluarga merancang pulang ke Perak dan sedang mengurus pertukaran sekolah untuk anak-anak.

Nor Nadia hadir di Kompleks Mahkamah Klang pagi tadi bagi mendengar pertuduhan terhadap R. Saktygaanapathy, 28 tahun turut mengucapkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan terutama dalam usaha mendapatkan keadilan buat diri dan keluarganya.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Sangat lega. Perkara ini mengurangkan rasa sedih saya. Saya menyerahkan perkara ini kepada peguam dan mahkamah,” katanya.

Meskipun masih diselubungi hiba, Nor Nadia mahu masyarakat memberikan sokongan emosi terutama kepada anaknya kerana arwah terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mencari buku teks untuk mereka.

“Anak ada seorang dengan saya. Dua lagi di kampung. Saya harap mereka kuat. Saya perlukan sokongan untuk emosi anak-anak sebab dan tidak mahu mereka dihuni rasa bersalah sebab arwah (suami) pergi untuk memcari buku teks. Saya juga tidak mahu mereka dibuli di sekolah,” katanya.

Nor Nadia dan keluarga bercadang untuk pulang ke kampung halaman di Perak dan ketika ini sedang dalam proses membuat pertukaran sekolah untuk anak-anaknya.

Kejadian pada 29 Mac lalu itu mengakibatkan mangsa Amirul Hafiz Omar, 33, tercampak ke atas bumbung sebuah kereta sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek menghala ke Bandar Klang berada dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Rakaman video kemalangan itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal hingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kereta lain.