Naikkan tambang van & bas persiaran, KPDN teliti unsur kartel

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Mac– Sebarang bentuk perjanjian atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan penetapan harga termasuk tambang minimum atau siling adalah dilarang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian persatuan menetapkan tambang minimum atau siling adalah dilarang dan mengandungi unsur kartel yang menjejaskan pasaran pelancongan.
  • Kementerian memandang serius pengumuman kadar tambang siling baharu oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia.
  • Walaupun kenaikan harga diesel meningkatkan kos, semua pihak diingatkan meneliti tindakan bagi memastikan kepatuhan kepada undang-undang.
  • Suruhanjaya Persaingan kini menyiasat persatuan terbabit bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan 2010.

Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah sedemikian mengandungi elemen kartel yang boleh menjejaskan pasaran pelancongan negara.

Jelas beliau, kementeriannya memandang serius pengumuman kadar tambang siling baharu oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) semalam.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media yang turut disertai tiga persatuan dan badan lain.

“Sungguhpun dimaklumkan kenaikan harga diesel mendatangkan implikasi kos kepada industri, namun diharapkan semua pihak meneliti sebarang tindakan yang diambil.

Ia bagi memastikan kepatuhan kepada mana-mana kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah beliau, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini sedang meneliti tindakan persatuan terbabit.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan 2010.