
ALOR SETAR, 30 Mac – Sesi persekolahan di 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan kembali beroperasi secara bersemuka bermula Rabu ini, selepas keadaan cuaca menunjukkan penurunan suhu.
- Beberapa daerah di Kedah turut berada pada Tahap 1 cuaca panas, dengan bacaan antara 35 hingga 37 darjah Celsius menurut MetMalaysia.
- PdPR melibatkan 86,030 murid dan lebih 9,000 guru serta warga sekolah sepanjang tempoh gelombang haba.
- Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan terus memantau dan memastikan garis panduan Kementerian Pendidikan dipatuhi demi keselamatan dan kebajikan murid.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, keputusan itu dibuat susulan kedua-dua daerah mencatatkan bacaan suhu Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu antara 35 hingga 37 darjah Celsius hari ini.
Menurut beliau, perkembangan tersebut membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan semula secara fizikal selepas pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Berdasarkan data terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4 petang, beberapa daerah lain di Kedah termasuk Baling, Sik, Padang Terap, Pokok Sena dan Kuala Muda turut berada pada Tahap 1.
Sebelum ini, seramai 86,030 murid di Kota Setar dan Pendang terlibat dalam PdPR bermula semalam hingga esok susulan cuaca panas melampau.
Langkah itu diambil selepas kedua-dua daerah merekodkan suhu Tahap 2 (gelombang haba) selama tiga hari berturut-turut dari 26 hingga 28 Mac lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 65,634 murid melibatkan 154 sekolah di Kota Setar, manakala 20,396 murid di 52 sekolah di Pendang turut terlibat.
Lebih 9,000 guru dan warga sekolah terbabit dalam memastikan kelancaran pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh tersebut.
Bagi murid yang tinggal di asrama, sesi pembelajaran secara bersemuka tetap dijalankan di lokasi yang ditetapkan di sekolah masing-masing.
Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan garis panduan pengoperasian institusi pendidikan ketika cuaca panas dipatuhi sepenuhnya.
Langkah pelaksanaan PdPR sebelum ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.