Lima pesalah buang sampah jalani khidmat masyarakat di Kangar

FOTO RTM

KANGAR, 28 Mac – Lima individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah merata-rata hari ini menjalani Perintah Khidmat Masyarakat di sekitar Dataran Sena, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan bermula pukul 8 pagi, tugasan pembersihan dibahagikan mengikut zon dan dilakukan secara bergilir.
  • Pengarah SWCorp Perlis, Fadil Idris, berkata hukuman memberi peluang pesalah merasai kepayahan kerja pembersihan dan meningkatkan kesedaran.
  • Setiap pesalah menjalani khidmat masyarakat lapan jam, pelaksanaan berperingkat kerana cuaca panas; tugasan termasuk menyapu, mengutip sampah dan puntung rokok.

Hukuman itu dilaksanakan bermula pukul 8 pagi menerusi beberapa tugasan pembersihan yang dibahagikan mengikut zon serta dilakukan secara bergilir-gilir.

Pengarah SWCorp Perlis, Fadil Idris berkata, pelaksanaan hukuman tersebut memberi peluang kepada pesalah merasai sendiri kepayahan kerja pembersihan.

“Pesalah dapat merasai sendiri keletihan membersihkan kawasan dan diharap pengalaman itu memberi kesedaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Setiap pesalah diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam.

Bagaimanapun, pelaksanaannya disusun secara berperingkat berikutan faktor cuaca panas yang melanda negeri itu ketika ini.

Sementara itu, salah seorang individu yang menjalani hukuman tersebut berkata, mereka melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu dan mengutip sampah serta puntung rokok di kawasan berkenaan.

Katanya, meskipun berdepan cuaca panas, tugasan tetap dilaksanakan seperti diarahkan.