Larangan pembelian minyak masak peket kepada warga asing jamin hak rakyat

Larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing berkuat kuasa 1 Mac lepas

PUTRAJAYA, 9 Mac – Larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing bermula 1 Mac lepas adalah bagi menjamin hak rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menegaskan larangan itu bertujuan memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia dan tidak disalahguna oleh pihak lain.
  • Sebelum ini bukan warganegara membeli minyak peket bersubsidi dalam jumlah besar untuk dijual semula atau diseludup ke luar negara.
  • Pendekatan sama telah dilaksanakan dalam program subsidi lain termasuk inisiatif BUDI 95 untuk mensasarkan bantuan kepada yang layak.
  • Kementerian berkaitan diarah memastikan pelaksanaan larangan berkesan serta mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup dan pencatut bekalan subsidi.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu diambil bagi memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia dan tidak disalahguna oleh pihak lain.

“Mulai 1 Mac 2026, kita telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram kepada bukan warganegara. Ya, ini wajar. Mana mungkin subsidi diberikan kepada bukan warganegara. ” katanya.

Beliau mendedahkan, sebelum ini berlaku situasi membabitkan pembelian dalam jumlah besar minyak masak bersubsidi oleh bukan warganegara sebelum komoditi itu dijual semula atau diseludup ke luar negara untuk meraih keuntungan berganda.

“Jadi kita berikan subsidi yang tinggi untuk rakyat tapi dibeli kadang-kadang dalam jumlah yang besar oleh bukan warganegara dan dijual pula ke luar negara,” ujar Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar turut menjelaskan bahawa pendekatan sama telah dilaksanakan dalam program subsidi lain, termasuk inisiatif BUDI 95, bagi memastikan bantuan kerajaan disasarkan kepada rakyat yang layak.

Sehubungan itu, kementerian berkaitan diarah memastikan pelaksanaan larangan tersebut dilakukan dengan berkesan serta tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup atau menyalahgunakan bekalan minyak masak bersubsidi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.