
KUALA LUMPUR, 8 Mac -Atas dasar keprihatinan terhadap hak dan kebajikan wanita, DAP Wanita Selangor melancarkan Program Bantuan Nasihat Guaman secara percuma khusus untuk wanita di negeri itu, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2026.
- Perkhidmatan konsultasi guaman pertama secara percuma untuk wanita Selangor yang tidak diwakili peguam.
- Permohonan melalui pautan, kod QR atau pejabat ADUN; pemohon dihubungi dalam 24 jam, peguam disesuaikan mengikut bahasa.
- Bantuan fokus kepada undang-undang keluarga, hak jagaan anak, probet dan surat pentadbiran; panel awal 10 peguam.
Pengerusi DAP Wanita Kebangsaan, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, program tersebut dilancarkan kerana masih ramai wanita di Malaysia belum mencapai kebebasan kewangan yang kukuh.
“Di Malaysia, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sekitar 56.9 peratus, berbanding lelaki kira-kira 80 peratus. Ini bermakna masih terdapat sebahagian wanita yang belum berdikari, khususnya dari segi kewangan dan keselamatan ekonomi.
“Dalam banyak kes keganasan rumah tangga, faktor kedudukan kewangan turut memainkan peranan.
“Walaupun kes seperti itu juga boleh melibatkan lelaki, realitinya ketidaksamaan dari segi ekonomi dan peluang masih wujud, dan keadaan ini akhirnya menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Nasihat Undang-Undang Percuma Wanita DAP Selangor bersempena Hari Wanita Antarabangsa, di sini.
Pengerusi DAP Wanita Selangor, Yeo Bee Yin, menegaskan, program itu bertujuan memastikan wanita mendapat panduan undang-undang awal secara profesional dan mudah diakses.
Buat masa ini, perkhidmatan terbuka kepada wanita di Selangor yang tidak diwakili peguam.
“Kita menerima maklum balas bahawa tidak semua wanita di Selangor atau Malaysia mempunyai kenalan peguam apabila berdepan masalah, terutamanya isu rumah tangga atau keganasan rumah tangga. Dalam keadaan sebegitu, ramai yang tidak tahu langkah pertama yang perlu diambil.
“Ada juga yang kadangkala menerima nasihat yang kurang tepat daripada pihak yang tidak mempunyai kepakaran undang-undang. Oleh sebab itu, kita memperkenalkan Program Bantuan Nasihat Guaman ini bagi membantu wanita mendapatkan panduan awal undang-undang yang betul dan profesional,” kata Yeo.
Setiausaha Publisiti Wanita DAP Selangor, Michelle Ng Mei Sze, menjelaskan bahawa tujuan mewujudkan saluran ini adalah untuk membantu wanita mendapatkan sesi konsultasi guaman pertama secara percuma.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan, kod QR atau hadir ke pejabat ADUN untuk bantuan mengisi borang secara dalam talian.
“Sesiapa sahaja yang memerlukan nasihat undang-undang boleh tampil, dan melalui sesi tersebut kita akan membantu mereka memahami pilihan atau langkah yang ada. Selepas mendaftar melalui Google Form atau pejabat DUN, pemohon akan dihubungi dalam 24 jam. Kita juga akan menyesuaikan peguam mengikut keperluan bahasa , Bahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, supaya semua pemohon mendapat nasihat yang tepat,” katanya.
Fokus bantuan merangkumi undang-undang keluarga, termasuk hak penjagaan anak, probet dan surat pentadbiran harta pusaka.
Seramai 10 peguam berpengalaman dilantik sebagai panel, dan bilangan mereka akan ditingkatkan mengikut keperluan.