Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Nuzul Al-Quran Negeri Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 1447H/2026M/ BERNAMA

SERI ISKANDAR, 6 Mac – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2026 di Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas.
  • Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran, tahlil dan doa berbuka, dihadiri lebih 2,000 jemaah.
  • Baginda menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk lebih RM12.6 juta kepada 12 penghulu daerah untuk 42,006 penerima.

Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 2,000 jemaah.

Sultan Nazrin turut berkenan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum berangkat ke majlis santapan di pekarangan masjid tersebut.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah lebih RM12.6 juta kepada 12 penghulu daerah di seluruh Perak sebelum diagihkan kepada 42,006 orang penerima.

Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat Isyak serta solat tarawih secara berjemaah dan menyertai jamuan moreh sebelum berangkat pulang.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini.