
KUALA LUMPUR, 6 Mac- UMNO membuka ruang kepada bekas ahlinya yang dipernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu.
- Matlamat tindakan ialah memperkukuhkan semula wadah perjuangan parti.
- Pendekatan selari semangat Ramadan, menggalakkan berbaik sangka serta membuka ruang perdamaian antara pihak.
- Pertemuan parti Melayu-Islam diadakan untuk jelaskan dasar kerajaan mengenai agama Islam dan Bumiputera agar tiada salah faham.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu bertujuan memperkukuhkan semula wadah perjuangan UMNO.
“Kita membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak yang pernah dipecat, digantung atau meninggalkan perjuangan parti termasuk mereka yang belum berkesempatan menyertai UMNO sebelum ini untuk berbuat demikian,” katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Pertemuan Bersama Warga Pengurusan Tertinggi Federal Land Development Authority (FELDA) di Menara FELDA di sini.
Tambah beliau, pendekatan tersebut juga selari dengan semangat bulan Ramadan yang menggalakkan sikap berbaik sangka dan membuka ruang perdamaian antara semua pihak.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan satu pertemuan melibatkan beberapa parti Melayu-Islam telah diadakan bagi berkongsi agenda nasional kerajaan khususnya berkaitan isu agama Islam dan Bumiputera.
Katanya, langkah itu penting bagi memberi penjelasan mengenai pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan supaya tidak timbul salah faham berhubung kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.