KUSKOP perkenal Inisiatif DEWI lonjak perniagaan Malaysia

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Mac – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan Inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) dengan peruntukan dana berjumlah hampir RM3 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat DEWI memperkasakan ekosistem PMKS milik usahawan wanita, selari misi 'Hebatkan Perniagaan Malaysia'.
  • Empat agensi pelaksana: Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
  • Pembiayaan inklusif dari RM1,000 sehingga RM3 juta, menyokong dari mikro hingga pengembangan perniagaan.
  • Inisiatif dijangka memberi manfaat kepada 200,000 hingga 300,000 usahawan wanita; permohonan dibuka di laman KUSKOP mulai 8 Mac.

Inisiatif bertujuan untuk memperkasakan ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) milik usahawan wanita di seluruh Malaysia, selaras dengan misi “Hebatkan Perniagaan Malaysia.”

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, empat agensi di bawah kementerian kini digerakkan sepenuhnya sebagai pelaksana inisiatif DEWI demi memperkukuh ekosistem PMKS wanita.

“Sebanyak empat agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terlibat dalam inisiatif DEWI, iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Inisiatif ini menawarkan kemudahan pembiayaan bermula serendah RM1,000, RM2,000 RM30,000, malah RM300,000 dan sehingga RM3 juta”, katanya kepada media pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026, di sini.

Tambahnya, inisiatif tersebut menyediakan suntikan modal yang inklusif, merangkumi pembiayaan mikro serendah RM1,000 hingga ke peringkat pengembangan perniagaan yang mencecah RM3 juta, sekali gus memastikan tiada usahawan wanita yang tertinggal dalam arus pertumbuhan ekonomi.

DEWI merupakan manifestasi tekad KUSKOP untuk memperkasakan usahawan wanita di seluruh negara, sekali gus melahirkan lebih ramai ‘iron lady’ yang berdaya saing dalam dunia perniagaan.

Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada 200,000 hingga 300,000 usahawan wanita yang bakal menerima manfaat daripada agihan dana sepanjang tahun ini.

Pengumuman bermakna ini dibuat bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia. Maklumat lanjut dan perincian permohonan boleh didapati melalui laman web rasmi KUSKOP bermula 8 Mac ini.