
PASIR PUTEH, 28 Februari – Seramai 18 kru termasuk 10 warga Thailand ditahan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melanggar syarat lesen di perairan berhampiran Pulau Perhentian Besar, Besut, Terengganu, semalam.
- 18 kru termasuk 10 warga Thailand ditahan selepas vesel nelayan disyaki langgar syarat lesen.
- Vesel menggunakan pukat jerut diperiksa, membawa lapan warga tempatan termasuk tekong.
- Disyaki melanggar Akta Imigresen kerana menggaji kru dengan PLKS tamat tempoh.
- Vesel juga disyaki menyalahi Akta Perikanan bagi aktiviti dalam 12 batu nautika; rampasan dan siasatan dijalankan.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, vesel yang menggunakan peralatan pukat jerut itu diperiksa dan didapati membawa lapan warga tempatan termasuk tekong serta 10 kru warga Thailand.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji kru asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh.
Vesel itu turut disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika dari daratan yang menyalahi syarat lesen bagi vesel Kelas C.
Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala vesel bersama peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
APMM memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara sah dan mematuhi undang-undang negara.