Imran Khan dakwa tidak dibenar jumpa doktor peribadi

Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS), tempat Imran Khan menerima rawatan mata

ISLAMABAD, 24 Februari – Bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, menerima rawatan mata di hospital hari ini, menurut kenyataan pihak hospital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Imran mendakwa tidak dibenarkan berjumpa doktor peribadi semasa menerima rawatan mata.
  • Keluarga dan peguam laporkan penglihatan mata kanan Imran hampir hilang sepenuhnya.
  • Pihak hospital sah Imran menerima suntikan kedua dan berada dalam keadaan stabil klinikal.
  • Penasihat menuntut akses kepada doktor peribadi dan ahli keluarga bagi memastikan rawatan mencukupi.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak dibenarkan berjumpa doktor peribadinya.

Imran, 73, dipenjarakan sejak 2023 dan pada akhir tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 17 tahun bersama isterinya atas pertuduhan rasuah yang dinafikan kedua-duanya.

Keluarga dan peguamnya memaklumkan bekas pemimpun itu hampir hilang sepenuhnya penglihatan di mata kanan.

Menurut kenyataan hospital, Imran dibawa ke Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS) di Islamabad bagi menerima suntikan kedua untuk rawatan matanya.

“Imran didapati berada dalam keadaan stabil secara klinikal,” menurut kenyataan itu.

Namun, penasihat medianya, Sayed Zulfiqar Bukhari berkata akses perlu diberikan kepada doktor peribadi serta ahli keluarga beliau.

Minggu lalu, sekumpulan kapten kriket antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesihatan Imran dan menggesa kerajaan Islamabad memastikan beliau menerima rawatan perubatan yang mencukupi.

Imran yang menerajui Pakistan dari 2018 hingga 2022 disingkirkan menerusi undi tidak percaya ketika krisis politik susulan ketegangan antara pentadbirannya dan pihak tentera.

Sejak itu, beliau berdepan pelbagai kes mahkamah berkaitan rasuah dan pertuduhan lain.

Imran dan partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), menegaskan semua kes berkenaan bermotifkan politik.

Penahanannya pada Mei 2023 mencetuskan protes di seluruh negara, dengan sebahagiannya bertukar ganas dan membawa kepada ratusan tangkapan.

Pada 12 Februari lalu, peguamnya Salman Safdar memaklumkan satu daripada mata Imran hanya mempunyai kira-kira 15 peratus tahap penglihatan selepas lawatan ke penjara.

Anak beliau, Kasim Khan, turut mendakwa keadaan kesihatan bapanya berpunca daripada kecuaian rawatan perubatan sepanjang tempoh tahanan.-AFP