
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang penganggur yang didakwa membunuh wanita gelandangan di Sentul, di sini, untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
- Mahkamah perintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan susulan laporan pegawai penyiasat.
- Tertuduh, 46, didakwa membunuh wanita gelandangan di Jalan Sentul pada 9 Feb; tiada pengakuan direkodkan.
- Pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; sebutan semula kes ditetapkan 19 Mac menunggu laporan psikiatri.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan mengeluarkan perintah supaya Syed Faizal Syed Alwi, 46, menjalani ujian psikiatri selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan kepada mahkamah bahawa pegawai penyiasat melaporkan tertuduh dipercayai tidak waras.
Syed Faizal didakwa membunuh seorang wanita yang tidak dikenal pasti identitinya di hadapan sebuah premis di Jalan Sentul, dekat sini, antara 6.35 dan 6.36 pagi, 9 Feb lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.
Mahkamah menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu sebutan semula kes dan laporan penilaian psikiatri.
Pada 10 Feb lepas, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata polis telah menahan seorang suspek berusia 46 tahun susulan penemuan mayat seorang wanita gelandangan dipercayai dibunuh di Jalan Sentul pada 9 Feb lepas.
Beliau berkata mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an hingga 60-an ditemukan terbaring dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan kematian disahkan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter pada bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata,” katanya. =BERNAMA