Siasatan isu pemilikan saham Azam Baki diserah kepada Jawatankuasa Khas

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tengah) meluangkan masa menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) NADI Taman Desa Belantik, Johor Bahru/foto FB Fahmi Fadzil

JOHOR BAHRU, 16 Februari – Siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diserahkan kepada Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat isu pemilikan saham Azam Baki secara menyeluruh.
  • Siasatan dijalankan secara telus, bebas dan semua fakta akan diperjelaskan.
  • Tan Sri Azam bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama penuh.
  • Kerajaan tidak menghalang perhimpunan aman, selagi tidak menyentuh 3R.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, siasatan itu akan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh, malah individu yang dikaitkan dengan isu berkenaan turut bersedia memberikan kerjasama penuh.

“Jemaah Menteri telah mengambil tindakan dengan mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat perkara berkenaan.

“Siasatan itu diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa berkenaan untuk dijalankan secara menyeluruh. Tan Sri Azam juga sangat terbuka dan menyatakan kesediaannya untuk disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan susulan Jemaah Menteri berhubung isu pemilikan saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut.

Menurut Datuk Fahmi, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Khas berkenaan untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh bagi memastikan semua fakta dapat diperjelaskan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan, selagi ia dilakukan secara aman dan tidak menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja atau (3R).