Polis jalankan siasatan insiden tembakan di Jalan Lanang

Foto hiasan

SIBU, 15 Februari – Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif sebenar kejadian tembakan di sebuah premis bank di Jalan Lanang di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis sedang mengenal pasti suspek dan motif insiden tembakan di premis bank Jalan Lanang.
  • Dua lelaki menaiki motosikal dilihat di lokasi sebelum seorang melepaskan tembakan.
  • Kelongsong dan butir peluru hidup ditemui di tempat kejadian; tiada kecederaan dilaporkan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dengan hukuman penjara atau denda.

Ketua Polis Daerah Sibu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Zulkipli Suhaili menerusi kenyataan memaklumkan, satu laporan telah dibuat berhubung insiden tembakan di premis berkenaan.

“Menurut keterangan saksi, dua lelaki menaiki sebuah motosikal dilihat berada di lokasi kejadian sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan menggunakan senjata api dipercayai jenis pistol.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian sejurus selepas insiden itu berlaku,” menurut kenyataan itu.

Hasil pemeriksaan di lokasi, polis menemukan satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.