Peruntukan RM20 juta baiki, naik taraf SMJKC – PM

FOTO RTM

IPOH, 14 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada semua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri umum tambahan peruntukan RM20 juta untuk semua SMJKC di seluruh negara bagi pembaikan dan naik taraf.
  • Peruntukan disalurkan melalui Kementerian Pendidikan untuk kemudahan asas dan penyelenggaraan infrastruktur mengikut keperluan.
  • Kerajaan sebelum ini meluluskan RM80 juta untuk SJKC, kini menambah sokongan kepada sekolah Cina lagi.
  • Dalam kerangka Malaysia MADANI, pendidikan ditekankan bersifat adil, inklusif dan menanam nilai hormat, disiplin serta perpaduan.

Perdana Menteri berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu adalah bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf sekolah mengikut keperluan, termasuk kemudahan asas serta penyelenggaraan infrastruktur.

Sebelum ini katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Pada hari ini, menjelang Tahun Baharu Cina, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa semua sekolah Cina akan menerima tambahan peruntukan sekiranya terdapat keperluan, sama ada bagi kemudahan asas dan sebagainya.

“Sebagai menghormati rakan-rakan dan sahabat handai yang menyambut Tahun Baharu Cina, saya menambah lagi peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di SJKC Yuk Choy di sini.

Perdana Menteri menegaskan, dalam kerangka Malaysia MADANI, pendidikan mesti bersifat adil dan inklusif tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar menghargai pengorbanan ibu bapa, guru serta semua kakitangan sekolah, di samping mengamalkan nilai hormat, disiplin dan perpaduan.

Katanya, pelaburan besar dalam pendidikan perlu disertai pembinaan sahsiah supaya dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak dan berintegriti.