
JASIN, 11 Februari -Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lapan siri pasar tani melalui program Semarak Ramadan dengan sasaran jualan melebihi RM300,000, bermula 11 hingga 17 Februari ini.
- Program Semarak Ramadan dijangka memberi manfaat kepada hampir 7,000 pengunjung.
- Inisiatif membantu masyarakat menyediakan barangan Ramadan pada harga lebih berpatutan.
- Menyokong pengusaha dan peniaga tempatan meningkatkan pendapatan.
- Mengurangkan beban kos sara hidup terutama persiapan makanan ruji.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, berkata program itu juga dijangka memberi manfaat kepada hampir 7,000 pengunjung.
Katanya, usaha itu juga dapat membantu masyarakat membuat persediaan awal menyambut Ramadan dengan memperoleh barangan pada harga yang lebih berpatutan.
“Jadi kita harap dengan adanya inisiatif seperti ini dapat memberi penambahbaikan, membantu juga pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga tempatan.
“Pada masa sama program seperti ini dapat mengurangkan beban dan kos Sara kehidupan khususnya daripada segi persediaan ataupun persiapan makanan ruji,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Ramadan 1447h Pasar Tani dan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-41, di sini.
Antara pasar tani yang terlibat ialah Pasar Tani Jasin, Pasar Tani Selandar, Pasar Tani Lubok Cina, Pasar Tani Masjid Tanah, Pasar Tani Alor Gajah dan Pasar Tani Merlimau.