Malaysia berpotensi hasilkan pelumba karting bertaraf dunia

FOTO FACEBOOK IAME SERIES ASIA

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Malaysia berpotensi besar untuk melahirkan pelumba karting bertaraf dunia sekiranya pembangunan bakat di peringkat akar umbi terus diperkasa secara konsisten.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia berpotensi melahirkan pelumba karting bertaraf dunia melalui pembangunan bakat akar umbi yang diperkasa secara konsisten.
  • IAME Series Asia bertujuan menaikkan standard karting rantau Asia dan mewujudkan penanda aras antarabangsa tanpa bergantung kepada Eropah.
  • Prestasi pelumba muda Malaysia semakin memberangsangkan dengan penyertaan luas dan peluang beraksi di peringkat dunia.

Penganjur perlumbaan IAME Series Asia, Daniel Ling menaruh harapan tinggit terhadap pelumba negara dan mahu melihat bendera Malaysia dikibarkan di pentas antarabangsa hasil peningkatan standard karting di rantau Asia.

“Saya sendiri merupakan rakyat Malaysia-Singapura. Jadi, apabila saya melihat bendera Malaysia atau Singapura dinaikkan dalam perlumbaan antarabangsa, saya berasa bangga.

“Apa yang kami mahu lakukan ialah terus menolak dan membangunkan standard karting dan perlumbaan di rantau ini supaya suatu hari nanti, apabila pelumba Malaysia atau Singapura berlumba di luar negara, orang akan berkata mereka sedang berlumba dengan yang terbaik di dunia. Itu harapan saya,” katanya ketika ditemui di Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026 di Litar Karting Antarabangsa LYL.

Mengulas prestasi semasa pelumba muda negara, Daniel menyifatkan pencapaian mereka amat memberangsangkan apabila semakin ramai peserta mula bersaing di peringkat Asia.

“Prestasi pelumba kita baik kerana ramai telah menyertai IAME Series Asia seperti Putera Adam Halim, Katrina Ee dan Travis Teoh. Mereka semua mempunyai peluang yang besar,” katanya.

Mengulas mengenai Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026, Daniel berkata ia bertujuan mewujudkan satu penanda aras baharu perlumbaan bertaraf antarabangsa di rantau Asia tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kejohanan di Eropah.

Katanya, usaha berterusan bersama komuniti karting Asia turut menunjukkan perkembangan positif dalam meningkatkan standard pelumba serantau.

Kejohanan tersebut disertai 106 pelumba dari 15 negara termasuk 22 wakil Malaysia, melibatkan empat kategori iaitu Kadet, Junior, Senior dan Master dengan sokongan Tourism Malaysia.

Perlumbaan ini menjadi platform utama menyatukan pelumba rantau ini serta membuka peluang kepada pemenang untuk beraksi di peringkat dunia.