1,200 pelajar Labuan terima vaksin HPV cegah kanser serviks

Suntikan pelalian HPV diberikan kepada pelajar perempuan di Labuan sebagai langkah awal mencegah kanser serviks/Foto RTM

LABUAN, 9 Februari – Seramai 1,200 pelajar perempuan tahun enam dan tingkatan satu menerima suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) di Klinik Kesihatan Membedai, Labuan, bagi mencegah kanser serviks sejak usia remaja.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,200 pelajar perempuan tahun enam dan tingkatan satu menerima suntikan vaksin HPV bagi mencegah kanser serviks sejak usia remaja.
  • Vaksin HPV merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi, memberi perlindungan jangka panjang terhadap jangkitan yang boleh menyebabkan kanser.
  • Program dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Labuan bersama Unit Kesihatan Sekolah, termasuk saringan kesihatan percuma untuk ibu bapa yang hadir.

Program Imunisasi HPV Kebangsaan peringkat Jabatan Kesihatan Labuan dilaksanakan bersama Unit Kesihatan Sekolah dan Seksyen Pembangunan Kesihatan Keluarga bersempena Sambutan Hari Kanser peringkat jabatan itu.

Kanser serviks digelar pembunuh senyap kerana tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal, namun boleh dicegah melalui vaksinasi HPV dan saringan berkala.

Pelalian HPV ialah imunisasi bagi mencegah jangkitan virus berkenaan yang berpotensi menyebabkan kanser serviks atau kanser pangkal rahim.

Foto RTM

Inisiatif itu sebahagian usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan risiko jangkitan HPV dalam kalangan remaja perempuan.

Vaksin berfungsi merangsang sistem imun menghasilkan antibodi bagi melawan virus sebelum sel bertukar menjadi kanser.

Setiap pelajar menerima satu suntikan yang memberi perlindungan jangka panjang.

Saringan kesihatan percuma turut disediakan kepada ibu bapa yang hadir pada program berkenaan.