
SIBU, 8 Februari – Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadualkan berlangsung pada April depan dilihat sebagai platform terbaik untuk menyelesaikan sebarang isu serta salah faham dalaman dalam gabungan berkenaan.
- Konvensyen GPS April dilihat sebagai platform utama menyelesaikan isu dalaman dan salah faham dalam gabungan.
- Perbezaan pendapat wajar dibincang secara tertutup menerusi saluran dalaman, bukan di media.
- Persiapan menghadapi pilihan raya negeri perlu kerjasama erat antara komponen GPS seperti SUPP, PBB, PRS dan PDP.
- Konvensyen dan jawatankuasa dalaman penting untuk memperkukuh perpaduan serta mempamerkan teladan pemimpin.
Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Michael Tiang Ming Tee berkata, konvensyen itu merupakan medan penting bagi memperkukuh perpaduan dan kerjasama antara parti-parti komponen GPS.
Menurut beliau, sebarang perbezaan pandangan atau salah faham wajar dibincangkan secara tertutup menerusi saluran dalaman GPS dan bukan disuarakan secara terbuka melalui media.
“Dalam mana-mana organisasi atau keluarga, perbezaan pendapat adalah perkara biasa. Namun yang penting, pemimpin dan ahli GPS perlu menunjukkan teladan yang baik. Jika kita mahu rakyat Sarawak kekal bersatu, mereka akan menilai berdasarkan kesepaduan pemimpin mereka,” katanya.
Beliau berkata, Sidang Kemuncak, Konvensyen GPS atau jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan dalam gabungan itu merupakan platform paling sesuai untuk menyelesaikan sebarang isu.
“Saya yakin semua isu boleh diselesaikan kerana tiada perkara yang tidak boleh diperbaiki. Tidak ada manfaat kepada GPS untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang dengan terus berdebat atau bertelingkah secara terbuka,” katanya.
Michael berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengagihan Limau Mandarin kepada peniaga dan pengunjung di Pasar Sentral Sibu, pagi ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan berkata, penganjuran konvensyen GPS itu turut dilihat sebagai petanda awal bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
“Pemimpin dan ahli GPS perlu bersedia menghadapi pilihan raya. Bagi enam cawangan SUPP di Sibu, persiapan sedang dilakukan, namun yang lebih penting ialah kerjasama erat dengan parti komponen lain seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP),” katanya.
Tambah beliau, SUPP telah lama melakukan persediaan awal dan tidak menunggu sehingga menjelang pilihan raya untuk mula bekerja.