Program peluru berpandu Iran tidak boleh dirunding – Araghchi

FOTO REUTERS

IRAN, 8 Februari – Program peluru berpandu Iran tidak boleh dirunding dalam sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program peluru berpandu Iran adalah isu pertahanan dan tidak boleh dirunding dengan AS.
  • Rundingan tidak langsung tentang isu nuklear dianggap permulaan baik tetapi perlukan pembinaan kepercayaan.
  • Iran menegaskan hak memperkayakan uranium dan mampu menyasarkan pangkalan tentera AS di Asia Barat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata demikian dalam temu bual bersama saluran Al Jazeera Qatar, sambil mengulas rundingan tidak langsung antara Iran dan AS Jumaat lalu yang hanya menumpukan isu nuklear Iran.

Beliau menyifatkan rundingan itu sebagai permulaan baik, namun menegaskan masih banyak langkah perlu diambil bagi membina kepercayaan.

“Peluru berpandu adalah isu pertahanan dan tidak boleh dirunding,” katanya.

AS sebelum ini mendesak Iran mengehadkan program peluru berpandunya, namun Tehran menolak sekeras-kerasnya.

Beliau turut menegaskan, AS dan Israel gagal memusnahkan keupayaan nuklear Iran walaupun melalui pengeboman fasiliti atom negara itu pada Jun lalu, dan menekankan hak Iran yang tidak boleh dicabar untuk terus memperkayakan uranium di tanahnya sendiri.

Mengenai kemungkinan serangan AS, Araghchi berkata Iran tidak mampu menyerang tanah AS, tetapi boleh menyasarkan pangkalan tentera AS di Asia Barat.

Beliau menjangkakan pusingan rundingan baharu dengan AS akan diadakan tidak lama lagi, sebagai usaha diplomatik baharu di tengah ketegangan meningkat antara Tehran dan Washington susulan pengukuhan ketenteraan AS di rantau itu. -REUTERS