CIMB peruntuk lebih RM4.2 bilion pacu pertumbuhan JS-SEZ

GAMBAR HIASAN/RTM

Johor Bahru, 7 FebruariCIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd memperuntukkan lebih RM4.2 bilion di seluruh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bagi memperkasa kemajuan pelanggan, selain memacu pertumbuhan rentas sempadan serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

RINGKASAN BERITA AI
  • CIMB memperuntukkan lebih RM4.2 bilion bagi memacu pertumbuhan dan sokongan rentas sempadan di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.
  • Kira-kira RM1.15 bilion disalurkan khusus untuk pembiayaan PKS bagi memperkasakan perniagaan dan akses modal.
  • Inisiatif selari dengan RMK-13, NIMP dan komitmen pembiayaan RM10 bilion untuk pertumbuhan mampan serta kerjasama dengan pihak berkuasa.

CIMB dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, hampir satu pertiga atau RM1.15 bilion telah disalurkan bagi sokongan pembiayaan kepada PKS di seluruh zon berkenaan.

Kemajuan itu diketengahkan bersempena penganjuran Forward Future SME 2026, satu sesi yang dianjurkan bersama oleh CIMB dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen bank tersebut dalam menyokong PKS untuk berkembang di peringkat serantau, menyertai rantaian nilai serantau dan global, serta terlibat secara yakin dalam perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

“Dengan PKS sebagai tulang belakang ekonomi serta pemacu utama daya tahan, daya saing dan pertumbuhan inklusif, keperluan ekonomi semasa menuntut akses yang lebih pantas kepada modal, perkongsian dan penyelesaian yang membolehkan PKS melindungi masa depan perniagaan mereka serta merebut peluang di seluruh JS-SEZ,” katanya dalam kenyataan sama.

Dalam kenyataan sama, CIMB turut memaklumkan pihaknya komited memacu industri pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi serta sektor strategik berimpak besar, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP).

Pada 2024, Johor merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM158 bilion, menyumbang 9.6 peratus kepada KDNK negara, sekali gus menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia.

Menerusi komitmen pembiayaan khusus RM10 bilion serta kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa pembangunan utama, CIMB terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memacu pertumbuhan mampan, inklusif dan rentas sempadan di seluruh JS-SEZ.