
TANAH MERAH, 7 Februari – Seorang lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kejadian letupan disyaki bom di sebuah bengkel kereta di Kampung Air Merbo Dalam, di sini, pada Jumaat.
- Pasukan bomba menerima panggilan pemantauan keselamatan daripada polis pada 11.03 pagi dan bergerak ke lokasi.
- Bomba tiba pada 11.10 pagi dan mengesan kesan letupan pada sebuah kereta dalam bengkel.
- Seorang lelaki berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah pada kaki kanan di bawah paras lutut.
- Operasi dikendalikan tujuh anggota dengan sebuah jentera LFRT; kes diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Disagar Mani Mustafa, memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 11.03 pagi bagi tujuan pemantauan keselamatan sebelum jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 11.10 pagi dan mendapati terdapat kesan letupan pada sebuah kereta yang berada di dalam bengkel berkenaan.
“Maklumat awal daripada pihak polis memaklumkan seorang lelaki berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kanan di bawah paras lutut akibat letupan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah oleh orang awam sejurus kejadian berlaku, selepas solat Jumaat.
Tambahnya, hasil pemantauan mendapati keadaan di lokasi kejadian adalah terkawal dan selamat sebelum operasi ditamatkan pada pukul 11.40 pagi.
Kes berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera LFRT dan diketuai oleh Komander Operasi, Mat Nuri Muhamad.