PM ucap tahniah kemenangan Jojo di ONE Friday Fights

Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai JoJo berjaya menumpaskan pencabarnya dari Myanmar dalam perlawanan di Bangkok malam tadi/ Foto arkib Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh muay thai negara, Johan Ghazali susulan kejayaannya mencatat kemenangan dalam kejohanan ONE Friday Fights 141 di Bangkok, Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Johan Ghazali atas kejayaan beliau.
  • Jojo menang perlawanan ONE Friday Fights 141 di Bangkok melalui keputusan juri selepas tiga pusingan.
  • Kemenangan mengukuhkan kedudukan Johan sebagai prospek utama muay thai negara dan membanggakan Malaysia.

Ucapan itu dimuat naik Perdana Menteri menerusi satu kenyataan ringkas di platform media sosialnya, “Tahniah Jojo! 🥊💪”, sebagai penghargaan terhadap prestasi cemerlang atlet muda berusia 19 tahun itu di pentas antarabangsa.

Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo berjaya menumpaskan pencabarnya dari Myanmar, Ye Yint Naung pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lumpinee, malam tadi.

Kemenangan tersebut diraih selepas Johan mengatasi lawannya menerusi keputusan juri selepas tiga pusingan perlawanan.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Johan sebagai antara prospek utama muay thai negara serta membanggakan arena sukan tempur Malaysia di peringkat dunia.