Singkir Newcastle, City sah ke aksi akhir Piala Liga

FOTO AFP

MANCHESTER, 5 Februari – Manchester City bakal berdepan Arsenal pada perlawanan akhir Piala Liga selepas menamatkan status juara bertahan Newcastle United dengan kemenangan 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Etihad, Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manchester City melengkapkan kemaraan final Piala Liga selepas menang 3-1 ke atas Newcastle di Etihad.
  • Omar Marmoush jadi wira dengan dua gol pada separuh masa pertama, Reijnders menambah gol ketiga.
  • Newcastle bangkit lewat melalui Anthony Elanga tetapi tidak cukup untuk menghalang kekalahan agregat.
  • City akan berdepan Arsenal di final Wembley pada 22 Mac, memberi suntikan moral kepada Guardiola.

Pasukan kendalian Pep Guardiola sudah berada di kedudukan selesa selepas menang pada perlawanan pertama di Tyneside Januari lalu dan melengkapkan kemaraan dengan agregat 5-1 hasil persembahan bertenaga, khususnya pada separuh masa pertama.

Omar Marmoush muncul wira City apabila menjaringkan dua gol pada babak pertama, sebelum Tijjani Reijnders memastikan kemenangan mutlak tuan rumah dengan gol ketiga.

Newcastle cuba bangkit pada separuh masa kedua apabila Anthony Elanga merapatkan jurang, namun jaringan itu tidak mencukupi untuk menghalang City mara ke final Piala Liga buat kali pertama sejak 2021.

City akan menentang Arsenal pada aksi final di Stadium Wembley pada 22 Mac ini selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menyingkirkan Chelsea pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir memberi suntikan moral kepada Guardiola selepas City terlepas kemenangan apabila diikat 2-2 oleh Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, sekali gus menjejaskan cabaran kejuaraan liga apabila kini ketinggalan enam mata di belakang Arsenal.

Guardiola menyifatkan kemaraan ke final sebagai satu pencapaian besar, sambil mengingatkan Piala Liga merupakan trofi pertama dimenangi City di bawah kendaliannya ketika menewaskan Arsenal pada final 2018.

Sementara itu, pengendali Newcastle, Eddie Howe, mengakui kecewa dengan prestasi hambar pasukannya pada separuh masa pertama, yang disifatkan sebagai punca utama kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan.-AFP

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan