
GEORGE TOWN, 5 Februari – Kebakaran hutan yang berlaku di kawasan Taman Botani, Jalan Kebun Bunga sejak petang Rabu berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
- Kebakaran di Taman Botani melibatkan anggaran lapan hektar dan dikawal sepenuhnya sebelum dipadamkan sepenuhnya malam itu.
- Operasi melibatkan 31 anggota, lapan jentera dan bantuan daripada pasukan bomba sukarela serta kerjasama PDRM.
- Teknik pemadaman termasuk fire beater, jet shooter, pembinaan fire break dan pengawasan dron; kerja overhaul masih dijalankan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.24 petang, sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
Kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan hektar dan operasi pemadaman pada peringkat awal dibahagikan kepada dua sektor bagi mengawal kemerebakan api.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan peralatan khas termasuk fire beater dan jet shooter, selain pembinaan fire break bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.30 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.50 malam.
Bagaimanapun, kerja overhaul masih giat dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara api yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 31 anggota termasuk pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, dengan bantuan BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong.
Sebanyak lapan jentera pelbagai jenis digerakkan ke lokasi, manakala operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari New Ferry, Juru, Permatang Tinggi dan Padang Lalang, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam perkembangan terkini, JBPM memaklumkan pembahagian sektor pemadaman ditingkatkan kepada tiga sektor dan Unit Dron turut dikerahkan bagi pemantauan dari udara.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan JBPM Pulau Pinang akan terus memantau keadaan serta mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.