PM seru rakyat tolak sentimen perkauman, pilih perpaduan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto PMO

KUALA LUMPUR 4 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat, khususnya generasi muda, agar menolak sentimen perkauman dan memilih jalan perpaduan demi menjamin keamanan serta masa depan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seru rakyat, terutama generasi muda, menolak sentimen perkauman demi keamanan dan masa depan negara.
  • Perpaduan memerlukan pengorbanan dan penerimaan kepelbagaian, bukan permainan sentimen kaum untuk sokongan sementara.
  • Masa depan Malaysia dijamin melalui jalan damai, saling menghormati dan bersatu sebagai satu bangsa.

Beliau berkata, Malaysia pernah melalui fasa ketegangan melibatkan isu bahasa, budaya dan kaum, namun rakyat perlu berhenti terperangkap dalam kesedihan dan perpecahan, sebaliknya memikirkan langkah seterusnya untuk membina negara yang aman dan saling mempercayai.

“Kita mahu pilih supaya negara ini aman, pupuk rasa kasih sayang dan yakin dan percaya di atas satu sama lain, hindari dan lupuskan sentimen permusuhan kaum, sentimen perpecahan.

“Itu pilihan kita. Ada negara yang memilih untuk kekalkan perseteruan dan permusuhan. Maka negara itu rosak binasa.

“Ada negara yang memilih jalan yang sukar, bapa-bapa pejuang kemerdekaan kita, awal kemerdekaan dari semua parti, semua kaum memilih jalan yang sukar… sukar, ia tidak mudah kerana yang dipilih itu jalur yang rencam, jalur yang pelbagai.

“Tidak mahu jalan keluar yang mengekalkan perpisahan, kebencian kaum dan permusuhan, memilih satu sistem yang lebih damai”, katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, sentimen permusuhan dan perpecahan kaum hanyalah pilihan yang membawa kepada kehancuran sesebuah negara, manakala jalan perpaduan menuntut pengorbanan serta kesediaan menerima kepelbagaian.

Beliau turut mengingatkan bahawa pendekatan bermain sentimen kaum mungkin meraih sokongan sementara, namun bukan jalan terbaik untuk menyelamatkan dan mengangkat Malaysia di persada dunia.

Tegasnya, masa depan negara hanya dapat dijamin sekiranya rakyat memilih jalan damai, saling menghormati dan bersatu sebagai satu bangsa Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Program Temu Anwar @ TARUMT di ibu negara.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.