
GEORGE TOWN, 2 Februari – Dua anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) cedera selepas belon berisi gas yang dirampas meletup sebelum mencetuskan kebakaran, malam semalam.
- Dua anggota penguat kuasa MBPP cedera selepas belon berisi gas yang dirampas meletup dan mencetuskan kebakaran.
- Letupan berlaku semasa pegawai mencucuk belon untuk melepaskan gas di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan.
- MBPP merampas belon dari penjaja tanpa lesen; laporan dibuat kepada JBPM dan PDRM serta kajian langkah penambahbaikan.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 7.55 malam di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union.
Menurut kenyataan itu, seorang anggota mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua tangan dan sebelah muka sebelum menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, manakala seorang lagi anggota cedera ringan dan berehat di rumah.
MBPP menjelaskan kejadian berlaku ketika pegawai penguat kuasa sedang mencucuk belon yang dirampas bagi melepaskan gas, yang dilakukan di hadapan pejabat berkenaan tanpa kehadiran orang awam.
Letupan itu turut menyebabkan bahagian belakang sebuah kenderaan MBPP serta beberapa peralatan yang dirampas terbakar.
Sementara itu, MBPP memaklumkan Jabatan Pelesenan telah menjalankan pemantauan terhadap penjaja tanpa lesen di Jalan Macalister, Jalan Utama dan Jalan Gottlieb sejak 31 Januari lalu, dan mendapati terdapat aktiviti penjualan belon berisi gas ringan tanpa lesen.
“Pihak majlis telah mengeluarkan arahan lisan kepada penjaja terlibat supaya menghentikan aktiviti jualan dan beredar dari kawasan terbabit. Namun pemerhatian pada 31 Januari dan 1 Februari mendapati segelintir penjaja masih mengingkari arahan tersebut.
“Susulan itu, tindakan merampas belon berkenaan bersama peralatan terlibat di Jalan Gottlieb telah diambil oleh penguat kuasa MBPP petang semalam sebelum dibawa ke pejabat Jabatan Pelesenan MBPP untuk tujuan pelupusan,” menurut kenyataan itu.
MBPP turut memaklumkan laporan berhubung insiden tersebut telah dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak majlis juga sedang meneliti langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik MBPP terbakar susulan letupan belon berkenaan.