Kerangka Insentif Baharu sektor perkilangan bermula Mac

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Kerangka Insentif Baharu (NIF) bagi sektor perkilangan akan mula dilaksanakan pada 1 Mac 2026, diikuti oleh sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) untuk sektor perkilangan bermula 1 Mac 2026.
  • NIF menawarkan STR dan Elaun Cukai Pelaburan berdasarkan pencapaian hasil berperingkat.
  • Pemberian insentif ditentukan melalui Kad Skor NIA mengikut kriteria strategik dan mampan.
  • Permohonan baru di bawah PIA 1986 ditutup 28 Feb 2026; kelulusan sedia ada kekal.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelaksanaan kerangka baharu itu menandakan satu anjakan dasar strategik yang signifikan dalam landskap insentif pelaburan negara.

”Inisitiaf itu bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, mampan serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

”NIF juga turut bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pemberian insentif dengan pencapaian hasil yang spesifik sejajar dengan keutamaan strategik negara,” menurut kenyataan itu.

Kerangka berkenaan mengguna pakai pendekatan berperingkat berasaskan hasil, selari dengan aspirasi dasar ekonomi dan perindustrian negara.

Di bawah NIF, dua kategori insentif cukai utama ditawarkan iaitu Kadar Cukai Khas Istimewa (STR) bagi tempoh yang ditetapkan serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA).

”Pemberian insentif akan ditentukan berdasarkan komitmen syarikat serta penilaian melalui Kad Skor NIA.

”Antara kriteria yang diambil kira termasuk sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi serta aspek kemampanan,” menurut kenyataan itu lagi.

Selaras pelaksanaan NIF, kerajaan tidak lagi menerima permohonan baharu bagi insentif untuk sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986) dengan tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 28 Februari 2026.

Bagaimanapun, syarikat yang telah mendapat kelulusan akan terus menikmati insentif di bawah PIA 1986 dengan kelulusan sedia ada terus berkuat kuasa mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan NIF dengan melayari laman sesawang https://www.miti.gov.my/NIF.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan