RPTM 2026–2035 dilaksana secara berperingkat – Azlinda

FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 28 Januari Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan dengan keperluan dan cabaran semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPTM 2026–2035 dilaksanakan secara berperingkat untuk kekal relevan dengan keperluan dan cabaran semasa.
  • Fasa pertama (2026–2028) fokus pada pengukuhan dan penambahbaikan aspek sedia ada dalam pendidikan tinggi.
  • Dokumen RPTM bersifat dinamik dan boleh disesuaikan mengikut situasi semasa serta perkembangan global.
  • Teknologi digital dan AI dipacu dalam RPTM dengan garis panduan etika untuk melindungi pemikiran analitikal pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, fasa pertama pelaksanaan RPTM yang merangkumi tempoh 2026 hingga 2028 akan memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan serta penambahbaikan aspek sedia ada.

“Dokumen pelan tersebut juga bersifat ‘living document’ (dokumen yang bersifat dinamik) yang boleh disesuaikan mengikut situasi semasa, sama ada pada tahun hadapan atau dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Justeru, penekanan dalam RPTM adalah untuk memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan industri, keperluan semasa serta perubahan yang berlaku di peringkat global,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bintang Uni-verse 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam aspek digital dan kecerdasan buatan (AI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan penggunaan teknologi tersebut merupakan antara pemacu utama RPTM bagi melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Namun, penggunaannya perlu berpandukan garis panduan serta etika yang ditetapkan bagi memastikan ia tidak menjejaskan keupayaan pemikiran analitikal pelajar.

Bagi merealisasikan RPTM, KPT turut menggariskan 10 lonjakan utama yang merangkumi 41 strategi dan 128 inisiatif sebagai panduan kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam melaksanakan pelan tindakan masing-masing, mengikut acuan serta bidang tujahan universiti.

KPT menyasarkan perubahan ketara dalam landskap pendidikan tinggi negara, dengan sokongan menyeluruh daripada ibu bapa, masyarakat, industri serta keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi.