11 maut ditembak selepas perlawanan bola sepak di Mexico

Lokasi insiden tembakan / REUTERS

SALAMANCA, 27 Januari -Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 12 lagi cedera dalam serangan bersenjata di padang bola sepak di Mexico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden berlaku selepas tamat perlawanan di Salamanca, negeri Guanajuato.
  • Serangan dilakukan oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah orang awam.
  • Rakaman menunjukkan kesan tembakan, darah di padang, kenderaan rosak dan barangan peribadi ditinggalkan.
  • Guanajuato kerap mengalami keganasan berkaitan perebutan wilayah kumpulan kartel dadah.

Insiden berlaku di Salamanca, negeri Guanajuato selepas tamat satu perlawanan, Ahad lalu.

Menurut pihak berkuasa tempatan, serangan itu dilakukan sekumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah orang awam di padang.

Datuk Bandar Salamanca, Cesar Prieto memaklumkan, motif serangan masih dalam siasatan.

Rakaman di lokasi menunjukkan kesan tembakan, kesan darah di atas padang, kenderaan rosak serta barangan peribadi yang ditinggalkan mangsa ketika cuba menyelamatkan diri.

Seorang ibu, Patricia Barron berkata, anak lelakinya menghubunginya dalam keadaan panik ketika serangan berlaku.

“Anak saya menelefon sambil menangis, memberitahu orang ramai ditembak dan mereka sedang bersembunyi.

Walaupun saya tidak berada di situ, panggilan itu membuatkan saya hampir pengsan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seorang bayi berusia enam bulan hampir terkena peluru, namun diselamatkan apabila seorang mangsa lain melindunginya, sebelum lelaki berkenaan maut ditembak.

Negeri Guanajuato merupakan antara kawasan paling ganas di Mexico, dengan keganasan sering dikaitkan perebutan wilayah antara kumpulan kartel dadah.

Insiden itu menambah tekanan terhadap kerajaan Mexico yang berdepan peningkatan keganasan bersenjata di beberapa wilayah utama negara itu. -REUTERS