
BRUSSELS, 27 Januari – Majlis Kesatuan Eropah (EU) meluluskan secara muktamad larangan terhadap import gas saluran paip dan gas asli cecair (LNG) dari Rusia, sebagai langkah mengurangkan kebergantungan tenaga susulan konflik Rusia-Ukraine.
- EU meluluskan larangan import LNG dan gas saluran paip dari Rusia berkuat kuasa 2027.
- Kontrak sedia ada diberi tempoh peralihan dan pelaksanaan enam minggu selepas peraturan.
- Negara anggota mesti sahkan negara asal gas dan serahkan pelan kepelbagaian tenaga.
- Pelanggaran dikenakan denda besar; larangan boleh digantung sementara jika bekalan terancam.
Menurut kenyataan Majlis EU, larangan penuh terhadap import LNG Rusia akan berkuat kuasa mulai Januari 2027, manakala import gas saluran paip Rusia akan dihentikan sepenuhnya bermula musim luruh 2027.
Larangan tersebut akan dilaksanakan enam minggu selepas peraturan itu dikuatkuasakan, dengan kontrak sedia ada diberikan tempoh peralihan bagi membolehkan penamatan dibuat secara berperingkat.
Peraturan berkenaan akan berkuat kuasa sehari selepas diterbitkan dalam Jurnal Rasmi Kesatuan Eropah.
Bagi mengelakkan pengelakan sekatan, pihak berkuasa negara anggota diwajibkan mengesahkan negara asal pengeluaran gas sebelum ia dibenarkan memasuki pasaran EU.
Peraturan baharu itu turut menetapkan hukuman tegas terhadap pelanggaran, termasuk denda maksimum sekurang-kurangnya 2.5 juta euro ke atas individu. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah 40 juta euro, atau sekurang-kurangnya 3.5 peratus daripada perolehan tahunan global, atau tiga kali ganda nilai transaksi yang dianggarkan.
“Negara-negara anggota EU juga diwajibkan mengemukakan pelan kepelbagaian tenaga nasional selewat-lewatnya 1 Mac ini, termasuk mengenal pasti cabaran dalam usaha menggantikan baki bekalan gas dari Rusia,” menurut kenyataan itu.
Sejak tercetusnya konflik Rusia-Ukraine, harga tenaga di seluruh Eropah dilaporkan meningkat dengan ketara. Bagaimanapun, Majlis EU memaklumkan larangan itu boleh digantung sehingga empat minggu sekiranya keselamatan bekalan tenaga terancam secara serius, tertakluk kepada pengisytiharan keadaan darurat oleh Suruhanjaya Eropah.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, EU telah mengurangkan import tenaga dari Rusia dengan ketara. Import minyak Rusia menyusut kepada kurang tiga peratus daripada jumlah keseluruhan import minyak EU pada 2025. Namun begitu, gas Rusia masih menyumbang kira-kira 13 peratus daripada import gas EU pada tahun lalu, dengan nilai dianggarkan melebihi 15 bilion euro setahun.
Suruhanjaya Eropah turut merancang untuk mencadangkan undang-undang baharu bagi menghentikan sepenuhnya import minyak dari Rusia menjelang akhir 2027. – REUTERS