
KARACHI, 22 Januari – Bilangan mangsa yang maut dalam insiden kebakaran di sebuah pusat beli-belah di Karachi meningkat kepada 60 orang, selepas sekurang-kurangnya 30 mayat ditemui di sebuah premis dalam bangunan bertingkat, menurut pegawai pada Rabu.
- Kematian meningkat kepada 60 orang selepas mayat ditemui dalam premis di tingkat bawah.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan, menggunakan peralatan canggih untuk keluarkan serpihan.
- Siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa untuk meneliti punca kebakaran dari pelbagai sudut.
Pegawai Kanan Polis, Syed Asad Raza berkata mayat tersebut ditemui di tingkat bawah pusat beli-belah itu dan beberapa individu masih hilang.
Beliau berkata operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.
Beliau menjelaskan usaha menyelamat dijalankan menggunakan peralatan canggih dan serpihan daripada bahagian bangunan yang runtuh sedang dikeluarkan.
“Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mencapai beberapa bahagian bangunan disebabkan asap dan suhu tinggi dalam struktur yang rosak.
“Satu bahagian bangunan telah dibersihkan, manakala dua bahagian lain masih disisir bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan,” kata Syed Asad Raza.
Pesuruhjaya Karachi, Syed Hassan Naqvi, memaklumkan siasatan terhadap insiden itu telah dijalankan serta pihak berkuasa meneliti kebakaran tersebut dari pelbagai sudut.-REUTERS